Sunday, July 24, 2011

Puspita Hayati

AWAN Kumulus nimbus berarak sendu. Angin senyap malu. Tiada sebarang deru dan hiba pun makin bergentayangan di tanah lapang sepi, hanya ceracak batu kaku mendasari lapangan sunyi itu. Dia masih tekun membilang sunyi yang kian menggigit perdu hati, rasa berdosa bertunak-tunak menyimbah pangkal jiwa dan menangislah selautan air mata pun, Puspita Hayati tidak akan ada di sisinya lagi apabila dia memerlukan wanita itu, wanita yang tidak pernah mencetus sebarang dosa di sanubarinya, sebaliknya dia yang banyak menjarah luka di hati wanita itu.
Dia tidak pernah menghargai setiap apa yang dilakukan Puspita ketika mereka di bawah satu bumbung. Kalau Puspita berkata begitu dan begini, ada saja alasan yang akan dia berikan untuk menduga tahap kesabaran wanita itu, wanita yang dikutip dari satu keadaan yang tidak disengajakan, diambil dan diangkat darjatnya, lalu dijadikan suri hidup walaupun dia tahu Puspita berhak untuk mendapat lebih dari itu.
“Ilham, untung kau ada Puspita. Memasak pandai, mengemas pandai, pendek kata semua boleh buat. Macam aku ni, nak cari isteri pun susah. Macam mana kau boleh berjumpa dengan manusia seperti Puspita tu,” tanya Muliadi pada suatu petang ketika dia sibuk membersihkan sangkar kayu ukir pemberian bapa Puspita ketika mereka balik ke kampung suatu ketika dulu.
“Entah…agaknya sebab aku orang baik-baik, maka Allah turunkan aku seorang bidadari dari syurga dan bidadari itu adalah Puspita Hayati,” jawabnya diiringi ketawa kepada Muliadi.
Wajah Muliadi kelat mendengar jawapan sombong darinya tapi dia tahu, Muliadi faham dia hanya bergurau. Di dalam hati dia sedikit kesal kerana Muliadi sehingga kini belum bertemu jodoh.
“Berdoa sajalah Adi, aku yakin esok lusa kau akan dapat isteri lebih baik dari Puspita Hayati tu.”
“Aku nak macam Puspita Hayati kau tu Ilham…” tukas Muliadi lagi tanpa selindung.
“Eh mana boleh, Puspita Hayati aku hanya ada satu, tiada tolok bandingnya…” sekali lagi hatinya kembang berbunga kerana Puspita Hayati menjadi lambang kebanggaan dirinya sebagai suami bertuah dan beruntung.
“Ilham, kau hargailah dia baik-baik. Aku sebagai rakan mendoakan kau berbahagia dengan dia selamanya. Kau beruntung Ilham, sangat beruntung…”
Sejurus kemudian Muliadi menapak pulang dan dia hanyut dengan olengan pujian Muliadio terhadap Puspita Hayati.
Isterinya itu cukup sempurna di mata orang lain, tapi dia sendiri gemar amat menyakitkan hati Puspita dengan pelbagai cara. Tujuan dan niatnya untuk bergurau, tapi tidak menyenangkan hati isterinya itu kerana gurauannya tidak pernah bersambut.
Ada pada suatu ketika, di petang minggu, dia mengambil keputusan membuang semua orkid yang melekat pada pagar besi rumah mereka kerana semut sudah membuat sarang di dalam kesemua kelima-lima pasu orkid hutan itu.
Tanpa belas kasihan kepada pohonan istimewa yang menjadi pagar hijau antara kediaman mereka dan jiran beranak tujuh, dia bagai lupa, terus meragut tanpa hujung pangkal walaupun orkid lebat berbunga dan kembangnya baru mekar dua tiga hari Cuma. Fikirnya, sebulan, dua bulan, orkid akan bertunas lagi dan dia tidak perlu risau kalau pagar besi kediaman mereka telus oleh pandangan jiran kerana dia dan Puspita Hayati pun jarang berada di laman. Kebanyakan masa mereka berada di dalam rumah dan Puspita lebih-lebih lagi, tempat kegemarannya adalah di bilik kecil, bersunyi-sunyi dengan segala bahan jahitan dan sulamannya.
Hakikatnya, dia lupa orkid berkenaan adalah hidupan akrab Puspita Hayati kerana hampir setiap malam isterinya itu akan mengucapkan salam dan bertanya khabar kepada orkid istimewa itu.
Dia lupa Puspita Hayati sering juga memujuk dan bercakap dengan orkid itu bagi memastikan di manja berwarna kuning, putih dan merah darah itu berbunga tidak putus setiap tiga bulan. Walaupun tiada bau, Puspita Hayati gemar amat membelai orkid berkenaan.
“Abang, abang bunuh Puspita ya…” jerit Puspita Hayati kaget selepas melihat pagar rumah gonjeng dan cebisan ranting orkid bertaburan di dada lantai.
“Bunuh apa? Kan ke Puspita masih hidup tu..,” jawab bersahaja kerana dia tidak tahu apa yang diperkatakan Puspita